Sunday, March 28, 2010

Pendidikan seks ikut Islam tangani kemelut sosial


Ibu bapa perlu didik anak mengenai aurat, hubungan berlainan jantina elak terjebak maksiat

ISLAM agama yang indah, lengkap dan memenuhi aspek kehidupan sejagat. Tiada satu persoalan pun dalam kehidupan di dunia ini melainkan Islam menyediakan garis panduan, peraturan dan penyelesaiannya supaya manusia menjalani kehidupan dengan sejahtera.

Antaranya ialah persoalan seks. Apabila berbicara mengenai seks, Islam menganjurkan umatnya bertanya segala masalah itu kepada orang yang lebih alim. Saidatina Aisyah memuji sifat wanita Ansar yang berani bertanya Rasulullah dalam masalah agama yang mereka tidak ketahui. Tambahan pula persoalan seks amat berkait rapat dengan soal maruah yang menjadi satu daripada enam perkara asasi dan tonggak kesejahteraan serta keamanan sejagat selain agama, harta, nyawa, akal dan keturunan. Pengabaian persoalan seks dikatakan antara faktor menyumbang kepada kemelut sosial yang semakin meruncing di kalangan masyarakat kini. Justeru, pendidikan seks perlu diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa secara khususnya ketika mendidik anak supaya mereka menjadi insan yang bertakwa kepada Allah.

Seks memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Menurut kamus, seks ialah keinginan nafsu syahwat yang disalurkan pada tempat sebenarnya. Dengan nafsu syahwat inilah keturunan manusia dilanjutkan. Sehubungan itu, Islam tidak ketinggalan menyediakan garis panduan kepada manusia supaya mendidik nafsu syahwat selaras nilai Islam sehingga berubah menjadi nafsu yang dirahmati dan diredai Allah. Dari sini, baru terbina sebuah mahligai rumah tangga yang bahagia dihiasi haruman sakinah , mawaddah dan rahmah. Dari institusi kekeluargaan inilah, lahir generasi manusia yang akan menyambung keturunan untuk terus mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Menurut perspektif Islam, pendidikan seks sebahagian daripada pendidikan akhlak yang didasari asas iman. Contoh, seorang Muslim yang beriman tidak akan menyalurkan naluri keinginan seks untuk berzina atau melakukan seks bebas, berkhalwat dan sebagainya. Pendek kata, iman bertindak sebagai perisai utuh menghalang seorang Muslim melakukan larangan Allah. Sebaliknya iman tohor menyebabkan mereka bertuhankan hawa nafsunya dan sanggup melakukan apa saja asalkan dapat memuaskan kehendak hawa nafsunya.

Konsep awal pendidikan seks dalam Islam dimulai dengan pengertian aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain. Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut. Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan. Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.

Malah aurat adalah bahagian tubuh yang boleh membangkitkan nafsu syahwat. Sebab itu, Islam memerintahkan umatnya menutup aurat supaya tidak terdedah kepada gejala terlarang.

Seterusnya, Islam memerintahkan ibu bapa memisahkan tempat tidur anak mereka apabila sampai masa dengan menyediakan bilik khusus untuk anak lelaki dan anak perempuan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah bermaksud: “Suruhlah anak kamu menunaikan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukul mereka apabila berusia sepuluh tahun (jika masih belum menunaikan solat) serta asingkan tempat tidur mereka.” (HR Tirmizi dan Abu Daud).

Selain itu, anak sewajarnya dijelaskan adab sopan dalam rumah dan luar rumah. Ibu bapa perlu mendidik mereka sejak kecil mengenai adab meminta izin dalam rumah tangga iaitu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umurnya) yang tersebut dahulu meminta izin.” (Surah al-Nur: 59)

Pendidikan seks juga bererti mendidik diri anak dan orang dewasa sentiasa menjaga pandangan mata. Ini bermakna seorang Muslim dilarang memandang benda haram seperti menonton filem lucah, membaca bahan lucah, melihat gambar seks dan sebagainya. Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti dinyatakan Allah dalam (Surah al-Nur: 30) yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan- Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Perintah menundukkan pandangan mata bukan hanya kepada lelaki malah perempuan yang turut dituntut memelihara aurat dan kehormatan mereka. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur: 31)

Anak juga hendaklah diajar jangan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan dan tidak berdua-duaan dengan yang bukan mahram. Bergaul bebas antara mukadimah zina yang dilarang Islam selain perangkap yang dipasang syaitan untuk menjeremuskan umat manusia ke lembah perzinaan.

Huraian Al-Quran dan juga penjelasan hadis Rasulullah berkaitan dengan proses kejadian manusia bermula dari setitik air mani hingga kepada proses kelahiran bayi, hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada anak dengan sebaik-baiknya untuk maksud membuktikan kekuasaan Allah.

Akhirnya, apabila anak mencapai umur kematangan yang melayakkan mereka membawa haluan hidup masing-masing maka ibu bapa perlu menerangkan etika hidup bersuami isteri dan berkeluarga mengikut cara Islam. Mudah-mudahan mereka dapat membina sebuah mahligai rumah tangga bahagia yang berada di bawah keredaan Ilahi.

Sejarah membuktikan, pengetahuan manusia semata-mata tidak mampu membendung dan mendidik seks tanpa petunjuk Allah.

Sumber : Prof Madya Dr Ungku Ahmad Zaki Engku Alwi di BHarian 19/03/2010

Friday, March 19, 2010

Nyaman dan segar di kampung Halaman...

Syukur ke hadrat Ilahi kerana cuti sekolah kali ini saya tidak sibuk mcm cuti sekolah tahun lepas..dapat juga meluangkan masa dengan keluarga. Cuti seminggu ini banyak aktiviti yang boleh dibuat tapi sayang diri ini tidak dapat melakukannya...cuma bantu keluarga jadi supir, pi pgrm, marking paper pelajar dan rest di rumah aja.

Syukur sangat pada 14 Mac 2010 semuanya berjalan dengan lancar.....pakcik2 yang datang pun gembira sebab tak sampai 30 minit semunya dah selesai...saya pun bersyukur sangat semuanya tidak disangka-sangka....hanya PadaMu ya Rabb tempat ku mengucapkan Syukurku yang tidak terhingga..

semoga begitu juga la yang berlaku di opis...moga cepat dapat pemimpin yang boleh dijadikan tauladan dan boleh membimbing kami ke arah jalan kebenaran....

Sunday, March 7, 2010

Akauntabiliti seorang pemimpin



Menjadi pemimpin bukan suatu kerja mudah. Peranan pemimpin untuk membawa perubahan organisasi atau pengikut ke arah kebaikan menjadi akauntabiliti kepada pemimpin itu dan harapan besar semua pengikutnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Setiap orang daripada kamu adalah menjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab (akauntabiliti) terhadap apa yang dijaganya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ensiklopedia Britannica menyifatkan Nabi Muhammad yang juga digelar al-Amin sebagai personaliti pemimpin agama paling berjaya di dunia. Bekas penulis terkenal British, George Bernard Show menyatakan,
“jika Nabi Muhammad masih hidup, beliau akan berjaya menyelesaikan masalah yang mengancam tamadun dunia hari ini.”

Pada prinsipnya, al-Amin bermaksud pengamal akauntabiliti yang dipercayai dan memberi perkhidmatan memuaskan kepada masyarakat. Corak kepimpinan Rasulullah SAW diteruskan para sahabat, yang juga menunjukkan kepimpinan cemerlang. Contohnya Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar membuat ucapan hampir sama ketika dipilih sebagai khalifah.

Antara ucapan mereka, “Jika saya benar, maka ikutilah saya dan jika saya menyeleweng, maka perbetulkan saya bagi mementukan urus tadbir Negara tidak tersesat dan bersedia meletakkan jawatan jika gagal memenuhi akauntabiliti.”

Renung-renungkan!

Capaian entry berkaitan :
  1. Tazkirah: Ciri-ciri manusia unggul
  2. PEMiMPiN ADiL DAN SAKSAMA
  3. Kisah Imam Yang Empat
  4. Perihal Amanah
  5. Kepemimpinan suatu amanah berat, sarat tanggungjawab
  6. Ketaqwaan Sayidina Umar Ibnu Aziz
  7. Politik wang wariskan pemimpin tidak berkualiti
  8. Ulul Albab: Pemimpin beragama pelindung rakyat
  9. Shalahuddin Al-Ayyubi
--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman- seri.blogspot. com
http://little- kiosk.blogspot. com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤