Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Tuesday, January 12, 2010

Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah ( edisi ke-3)

Oleh : Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Seperti mana yang saya sebutkan dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Harap kenyataan ini dibaca bersama dengan artikel tersebut.

Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?!

Juga di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah. Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.

Jika kita jelas dalam persoalan akidah, tentu unsur-unsur seperti itu, pengaruh kristianisasi, unsur-unsur agama lain tidak dapat mengelirukan akidah dan pemikiran umat. Isu nama Allah ini sepatutnya menyedarkan kita keperluan menegaskan soal akidah dan batas-batas iman dan kufur.

Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sekadar mencadangkan beberapa pekara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;

1. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkanNya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.


2. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).


3. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.


4. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.


5. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.


6. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanir rahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanir rahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Ini adalah beberapa cadangan saya mengenai hal ini untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.

Penggunaan Kalimah Allah (second edition)



ini adalah maklumat yang saya terima dari email saya di seorang sahabat baik saya. oleh Dato Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang

Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.


Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.


Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.


Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.


Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.


Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)


Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)



Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)


Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)


Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.


Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.


Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.


Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).


Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.


Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.


Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)


Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.


Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.


Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:


(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).


Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.


Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.


Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)


Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.


Wallahua’alam.

Jom re-check kembali...............................

Sunday, January 3, 2010

ALLAH

Petikan ini saya copy dari blog En. faisal Tehrani (( bolah klik di sini))

1. Saya juga bersetuju dengan Saudara seIslam saya En. Faisal Tehrani. saya juga TAK SETUJU !!! penggunaan kalimah ALLAH selain agama Islam.

2. Kalimah Allah bukan sahaja bererti Tuhan. Ia membawa sama 'nilai kesucian' yang tersendiri buat penganut agama Islam. Kerana itulah seseorang muslim dalam keadaan janabah misalnya tidak akan memegang (ayat-ayat suci) al-Quran. Kerana itulah jika kita terserempak keratan kertas bertulis 'Allah, Nabi Muhammad' di atas jalan, kita akan mengutipnya, dan cara untuk melupuskan keratan itu selalunya kita membakar ia sehingga musnah. Pendek kata Allah bukanlah semata-mata 'Tuhan'. Ia membawa 'keberatan' atau weight yang lebih mendalam.

3. Kebenaran penggunaan kalimah Allah buat penganut agama lain akan memberi kesan dalam bahasa Melayu juga. Bayangkan Allah dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud 'Tuhan Yang Esa' terpaksa dirombak, tunduk menurut ajaran Kristian dengan sisipan ayat contoh kedua: (Astaghfirullah) Jesus adalah anak Allah. Kita juga mungkin (terpaksa) merujuk gereja sebagai 'sebuah lagi rumah Allah'. Ini kerana bukan sahaja masjid lagi dapat dirujuk sebagai 'rumah Allah'.

4. Jika Allah hanyalah satu kalimat bermaksud Tuhan, maka orang Islam (Muslim India dan Melayu) Singapura tidak akan turun ke jalanraya satu masa dahulu untuk mempertahankan akidah Natrah. Kita juga tidak perlu berheboh-heboh mengenai Nur Aishah Bukhari, tidak berheboh-heboh mengenai Lina Joy. Jadi, Allah adalah lebih dari Tuhan.

5. Seperti yang pernah saya sebutkan, mintalah pendita Kristian menyelak Bible (yang asal Vatican) mereka dan tunjukkan di mana ada kalimah Allah?

6. Sebenarnya Vatican sendiri menolak pengunaan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan. Pernahkah anda mendengar Pope Benedict (pendita rujukan penganut Katolik sedunia) misalnya menggunakan kalimah ini dalam khutbah atau misa beliau? Ini kerana dalam "Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' telah pun menyatakan Allah dan Tuhan Kristian berbeza.

7. Konsili Vatican Kedua tersebut menyatakan dengan terang-terang bahawa Allah dalam al-Quran (Islam) berbeza dengan Tuhan yang digambarkan oleh kitab Bible rujukan penganut Kristian. Penyataan Konsili tersebut bermula dengan kata-kata penghormatan buat muslim tetapi menegaskan yang dalil-dalil dari Al-Quran dan Bible tentang 'Tuhan' adalah bertentangan.

8. Penyataan konsili itu menyebutkan:

Ayat dari Bible '2 John 1:9 Whosoever transgresseth, and abideth not in the doctrine of Christ, hath not God. He that abideth in the doctrine of Christ, he hath both the Father and the Son'.

Surah 19:88 They say: "(Allah) Most Gracious has begotten a son!" 89 Indeed ye have put forth a thing most monstrous!"

- Yang bermaksud - 'Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar.'

Sila rujuk surah Maryam ayat 88 dan 89.

9. Terdapat banyak ayat-ayat perbandingan lain dari Bible dan Quran lagi dikemukakan dan Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' itu secara tegas menolak penggunaan kalimah Allah untuk orang Kristian. Ini kerana Vatican sendiri menyatakan; Allah menurut Islam tidak punya anak. Sedangkan dalam agama Kristian, Allah punya anak (Astaghfirullah).

10 Oleh kerana Vatican sendiri menolak penggunaan kalimah Allah untuk penyebaran agama Kristian; maka kita tertanya-tanya apakah sebabnya Kristian di Malaysia beria-ia dan bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah dalam gereja dan dalam akhbar mereka?

11. Umat Islam dari apa jua parti dan jalur mesti bersatu untuk mendepani 'kekeliruan' yang boleh tercetus akibat dari 'insiden/tuntutan aneh' ini. Sila berhenti menyalahkan satu sama lain dan sila berhenti menunjukkan yang kumpulan atau parti anda lebih (kononnya) terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini. Ulama dan tokoh politik Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah buat orang Kristian eloklah bertaubat.

Kita berharap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja akan peka dengan isu yang boleh menjadi api dalam sekam ini di tengah-tengah usaha untuk kita memelihara keharmonian bangsa-bangsa Malaysia.

12. Menurut Islam, kalimah Allah mestilah sentiasa digandingkan dengan kalimah Muhammad kekasih-Nya. Saya tidak dapat membayangkan kalimah Allah digandingkan dengan kalimah Jesus 'selaku anaknya'. Bolehkah anda selaku seorang Muslim (tidak kiralah saudara ahli UMNO, PAS atau PKR) menerimanya?
BAGI SAYA SAYA TIDAK BOLEH MENERIMANYA!!!!!!!!

ALLAH IS ONLY ONE....