Friday, December 18, 2009

BERHIJRAHLAH KITA

Ketibaan bulan Muharram 1431 Hijriyyah ini menandakan usia kita juga semakin bertambah, rezeki kita juga semakin berkurangan, ajal kita juga semakin hampir dan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat juga semakin dekat. Sungguh pantas masa berlalu.

Tahun baru 1431 Hijriyyah kali ini jatuh pada penghulu segala hari iaitu hari Jumaat bersamaan 18 Disember 2009. Dalam menyambut ketibaan Awal Muharram atau dikenali juga dengan Ma’al Hijrah terdapat beberapa jenis golongan :

Golongan yang pertama : Golongan yang menyambutnya sekadar lahiriah. Mereka menyedari ketibaan Tahun baru hijriyyah kerana mereka mendapat cuti umum pada hari tersebut. Kehadiran bulan penuh keberkatan ini tidak mendatangkan apa-apa perubahan dalam diri mereka. Mereka terus dengan tabiat dan perangai kebiasaan. Tidak terlintas di hati mereka untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan.

Golongan yang kedua : Mereka menyambut kedatangan bulan Muharram ini dengan azam dan niat untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan. Mereka berubah untuk beberapa ketika kemudian kembali kepada perangai lama.

Golongan yang ketiga : Mereka menyambut kehadiran tahun baru hijrah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Mereka memasang azam yang teguh dan niat yang benar-benar mantap untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Golongan ini berupaya berubah menjadi hamba Allah yang bertakwa, soleh, menghindari perkara yang dimurkai oleh Allah SWT dan mereka terus istiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Kita muhasabah diri kita masing-masing. Kita termasuk golongan yang mana di antara tiga golongan yang di atas setiap kali menerima kedatangan Ma’al Hijrah.

Kesilapan yang lepas biarkan ia berlalu. Awal Muharram yang terbaru ini jangan dipersia-siakan seperti sebelum ini. Perubahan ke arah kebaikan mesti dilakukan walau pun kita tidak pasti untuk berapa lama. Begitulah hakikat iman manusia yang kadang-kadang bertambah dan kadang-kadang berkurangan.

Sesiapa yang memasang azam untuk berhijrah dia telah mendpat pahala sebagaimana sabda Rasulullah saw :

“ Sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya maka dituliskan untuknya satu hasanah ( kebaikan ). Dan sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan kemudian dia melakukannya maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda.” ( Riwayat Imam Muslim)

Alangkah ruginya kita sekiranya tidak memanfaatkan kelebihan yang Allah SWT sediakan untuk kita. Hanya berniat untuk berubah pun telah diberi pahala. Bila dilaksanakan, digandakan pula sepuluh kali ganda atau seberapa banyak ganjaran yang dikehendaki oleh Allah SWT. Jangan abaikan kasih sayang dan rahmat Allah SWT ini.

APAKAH PERUBAHAN YANG PERLU DILAKUKAN ?

Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari )

Hadis ini merupakan garis panduan untuk melakukan hijrah. Apa-apa perubahan ke arah kebaikan yang dilakukan merupakan satu hijrah dan telah menepati sabda Rasulullah saw di atas. Perubahan merangkumi dua perkara iaitu melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan Allah. Melaksanakan suruhan Allah sebenarnya lebih mudah berbanding meninggalkan tegahan Allah SWT.

Perubahan yang paling utama ialah melakukan taubat terhadap dosa-dosa yang lampau. Setiap individu muslim wajib bertaubat. Tiada siapa yang terlepas daripada dosa melainkan para Rasul.

Taubat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan menghapuskan dosa. Allah SWT telah menjanjikan akan mengampuni dosa sesiapa yang bertaubat.

Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Ini adalah janji Allah SWT dan Maha Suci Allah daripada memungkiri janjiNya. Jangan berputus asa dengan keampunan Allah walau anda bayangkan dosa anda terlalu banyak. Semua itu terlalu mudah bagi Allah yang bersifat dengan al-Tawwab (Maha Penerima Taubat) dan al-Ghaffar ( Maha Pengampun).

Diikuti dengan menyempurnakan kewajipan yang telah difardukan seperti solat fardu, puasa bulan Ramadan, zakat dan sebagainya. Mengabaikan perkara fardu adalah satu dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Solat yang ditinggalkan dengan sengaja menyebabkan seseorang itu akan menghuni neraka Saqar. Firman Allah SWT :

"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar?. mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat. ( Surah al-Muddatsir : 42 dan 43 )
Jagalah anggota-anggota daripada melakukan dosa. Nikmat percakapan, pendengaran, penglihatan dan anggota-anggota lain jangan disalahgunakan untuk perkara yang diharamkan oleh syarak. Semua anggota kita akan menjadi saksi di akhirat nanti. Firman Allah SWT :

Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan ( Surah al-Nur : 24 )

Tingkatkan amal soleh seumpama ingin menjaga solat fardu berjamaah, tilawah al-Quran setiap hari, bersedekah, memperbanyakkan solat sunat, melazimi qiyam al-lail dan banyak lagi amalan-amalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Tingkatkan juga ilmu agama agar sentiasa cenderung untuk meningkatkan keimanan dan amal soleh. Ibadat yang dilakukan juga hendaklah menepati ibadat Rasulullah saw supaya ibadat tidak menjadi sia-sia sebagaimana sabda Rasulullah saw :

” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan daripada perintah kami maka amalan itu tertolak( tidak diterima).( riwayat Imam al-Bukhari )

No comments:

Post a Comment